MY Voice bersama Consumer Goods Forum’s (CGF) People Positive Palm project telah menganjurkan Simposium Perekrutan Beretika pada 25hb April di Kuala Lumpur. Sesi itu telah dihadiri oleh ramai pihak berkepentingan bertujuan untuk membincangkan isu penting berkaitan amalan pengambilan pekerja secara beretika dan layanan pekerja dalam rantaian bekalan global. Terdapat lebih 60 peserta, terdiri daripada pemimpin industri, wakil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, telah menyertai sesi yang bertujuan untuk mempromosikan amalan bertanggungjawab dalam pengambilan pekerja serta memastikan layanan adil terhadap pekerja dan pematuhan piawaian buruh antarabangsa.
Dalam sesi pertama, wakil dari Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja (Semenanjung Malaysia) dan Jabatan Imigresen telah berkongsi pendapat mereka tentang kemajuan dan usaha kerajaan dalam melindungi pekerja asing, yang membentuk 70 peratus dalam tenaga kerja. Adalah jelas bahawa wujudnya usaha berterusan dalam pemantauan dan pematuhan untuk mencegah buruh paksa serta meningkatkan perlindungan pekerja melalui perundangan dan sistem persijilan yang baharu. Sesi ini telah diikuti dengan perbincangan panel yang menampilkan wakil daripada syarikat Sime Darby dan FGV, serta organisasi masyarakat sivil (CSO) Our Journey, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW), dan Institute for Human Rights and Business (IHRB). Our Journey yang juga merupakan rakan kongsi MY Voice telah memberikan pandangan daripada sudut pekerja dengan menekankan cabaran yang dihadapi oleh pekerja asing dan keperluan untuk majikan menambah baik keadaan kerja dan kebajikan pekerja.
Cadangan utama daripada simposium adalah seperti berikut:
Syarikat harus menerima pakai Prinsip Majikan Bayar (EPP) untuk menghapuskan yuran pengambilan pekerja dan mengurangkan risiko perhambaan hutang.
Kerajaan harus meningkatkan rangka kerja penyeliaan dan mekanisme penguatkuasaan untuk melindungi pekerja dan memastikan pematuhan piawaian buruh antarabangsa.
Syarikat harus melaksanakan proses usaha wajar yang menyeluruh untuk mengenal pasti, mencegah dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan amalan perekrutan yang tidak beretika.
Semua pihak berkepentingan harus mempromosikan kerjasama antara syarikat, kerjajaan dan organisasi Masyarakat sivil untuk mewujudkan impak yang lebih besar serta melindungi hak pekerja.
Semua pihak berkepentingan harus berusaha untuk meningkatkan ketelusan, memantau amalan pengambilan dan memperkasakan pekerja dalam melaporkan penderaan.
Simposium Perekrutan Beretika telah menekankan perlunya anjakan paradigma dalam layanan dan perekrutan pekerja dalam rantaian bekalan global. Selari dengan ini, MY Voice akan terus bekerja bersama dengan pihak berkepentingan untuk mempromosikan peluang kolaborasi dalam menangani isu hak pekerja.
Langgan Buletin MY Voice untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang peluang kolaborasi dan hubungi kami untuk keterangan lebih lanjut.