Pendekatan Baharu Pencegahan dan Pemulihan Buruh Kanak-Kanak di Malaysia

Ahli panel pada sesi pelancaran Hab Aksi Hak Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Inisiatif SAI MY Voice adalah projek selama 4.5 tahun yang berlangsung dari 2021 hingga 2026. Projek MY Voice ini bertujuan untuk meningkatkan suara pekerja (ataupun dikenali sebagai Worker Voice) dalam Sistem Pematuhan Sosial (Social Compliance System atau SCS) sektor swasta dan meningkatkan akses kepada pemulihan untuk buruh paksa dan buruh kanak-kanak. Selain itu, Projek MY Voice juga membantu untuk meningkatkan proses komunikasi dan koordinasi antara pihak tempatan untuk mengenalpasti, memulih, dan mencegah kes buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam industri minyak sawit dan pakaian di Malaysia.

Bagi menyokong semua perniagaan dan komuniti pekerja dalam mengurangkan risiko buruh kanak-kanak dalam rantaian bekalan minyak sawit dan mengakses kepada perkhidmatan pemulihan, Projek MY Voice telah melancarkan Hab Aksi Hak Kanak-Kanak yang pertama di Malaysia, pada 12 Jun 2024. Hab Aksi ini bertujuan untuk membangunkan sebuah sistem pencegahan dan pemulihan jangka panjang berasaskan komuniti dengan kerjasama pihak berkepentingan tempatan. Kami bercakap dengan Dr. Lai Jia Yen, Pengarah Projek MY Voice, SAI.

Soalan: Apakah punca utama buruh kanak-kanak dalam sektor minyak sawit Malaysia?

Lebih 30,000 kanak-kanak dianggarkan bekerja dalam sektor ini di Malaysia, yang bekerja di ladang kelapa sawit dan di ladang-ladang kecil. Sering kali, kanak-kanak ini bekerja di ladang untuk membantu ibu bapa mereka ataupun digunakan dalam kerja-kerja yang berbahaya seperti memotong, menuai, memuat, dan menyembur. Di Malaysia, kanak-kanak hanya diwajibkan menerima pendidikan sehingga ke Tahun Enam. Umur minimum yang membolehkan kanak-kanak bekerja ialah 13 tahun di mana hanya kerja ringan sahaja dibenarkan, dan 15 tahun untuk bekerja sepenuh masa. Ini bermakna, walaupun kanak-kanak boleh terus ke sekolah menengah selepas berusia 12 tahun, banyak yang berisiko terjebak dalam buruh kanak-kanak. Tambahan pula, kawasan ladang di pendalaman dan kekurangan kemudahan pendidikan sering menyebabkan kanak-kanak tidak bersekolah, menjadikan mereka lebih terdedah kepada buruh kanak-kanak.

Risiko peningkatan buruh kanak-kanak di semua industri di Malaysia disebabkan oleh kemiskinan, akses sistem sokongan sosial yang tidak sama, dan dinamik migrasi yang kompleks, terutamanya kanak-kanak migran dan memegang status 'tak bernegara' yang tidak mempunyai dokumen sah. Pendidikan dan perkembangan kanak-kanak memerlukan sokongan daripada sistem yang komprehensif. Demi mengatasi cabaran ini, kita perlu bersama-sama menyatukan kesedaran dan kerjasama oleh pelbagai pihak berkepentingan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Soalan: Bagaimanakah Hab Aksi Hak Kanak-Kanak menangani punca-punca sistematik buruh kanak-kanak? 

Hab Aksi ini membangunkan sebuah sistem pencegahan dan pemulihan jangka panjang berasaskan komuniti yang dibimbing demi kepentingan terbaik kanak-kanak. Dengan memanfaatkan sumber sedia ada, usaha ini bertujuan untuk mengatasi jurang isu buruh kanak-kanak dengan menyelaraskan inisiatif kerajaan dan bukan kerajaan yang sedia ada untuk melindungi mereka. Hab Aksi ini adalah usaha yang pertama di Malaysia. Walaupun Hab Aksi ini mempunyai mekanisme perlindungan kanak-kanak tersendiri, ia tidak ada struktur pemulihan kes sebenar buruh kanak-kanak yang formal.

Hab Aksi Hak Kanak-Kanak mengamalkan struktur kolaboratif dengan mengambil kira sumbangan daripada rakan kongsi, seperti pengurus kes, penyedia perkhidmatan, dan majikan. Melalui pendekatan berpusatkan kanak-kanak, Hab Aksi ini akan menyediakan panduan untuk menstandardkan proses pemulihan buruh kanak-kanak.

Pada peringkat individu, ini bermaksud mengeluarkan kanak-kanak daripada buruh kanak-kanak untuk memberikan pilihan alternatif yang lebih selamat, atau menawarkan pekerjaan yang tidak berbahaya jika mereka melebihi umur minimum untuk bekerja. 

Pada peringkat majikan pula, ini termasuk membangunkan pelan tindakan pembetulan untuk mencegah risiko buruh kanak-kanak yang lebih lanjut, seperti melalui pembangunan dasar, perubahan sistem, dan pembinaan kapasiti.  

Pada peringkat komuniti, ini melibatkan tindakan-tindakan yang diambil untuk mengatasi punca asas buruh kanak-kanak, termasuk memastikan akses kepada pendidikan.  

Soalan: Bagaimanakah Hab Aksi ini akan melibatkan perniagaan dalam mendorong hak kanak-kanak?

Hab Aksi Hak Kanak-Kanak memudahkan tindakan kolaboratif dalam kalangan perniagaan, yang membolehkan jenama, peruncit, dan ladang tempatan mengambil bahagian dalam semua aktiviti serta mengatasi risiko buruh kanak-kanak dalam rantaian bekalan mereka di sektor minyak kelapa sawit. Ini termasuk kepada perniagaan di kawasan pendalaman. Usaha ini akan melibatkan sokongan kewangan daripada sektor swasta melalui penubuhan dana pemulihan yang mampan untuk menyokong kanak-kanak yang terlibat dalam situasi buruh kanak-kanak. Hab Aksi ini juga akan menggabungkan syarikat-syarikat sektor swasta dalam sistem pengurusan kes yang bersepadu, meningkatkan ketelusan, kesedaran, dan peluang untuk bekerjasama ke atas dan merentasi rantaian bekalan mereka. Sokongan teknikal daripada Hab Aksi Hak Kanak-Kanak akan melengkapi perniagaan untuk mendorong hak kanak-kanak di seluruh rantaian bekalan mereka, seperti peningkatan kesedaran, cara penyelesaian untuk mengeluarkan kanak-kanak yang terbabit dari buruh kanak-kanak, sokongan untuk melaksanakan pelan tindakan pembetulan, dan menangani punca asal berlakunya isu buruh kanak-kanak.

Memberi keutamaan kepada penglibatan sektor swasta, serta memanfaatkan sumber yang sedia ada, adalah penting untuk memastikan sokongan dan penyelesaian jangka panjang untuk kanak-kanak dan kepada keluarga mereka. Kami juga akan melatih guru-guru, ahli komuniti, dan pihak berkepentingan yang lain untuk menjadi pengurus kes, penyedia perkhidmatan, dan peguam bela (advocate) hak kanak-kanak. Pihak-pihak ini akan menyokong dalam semua proses pemulihan kanak-kanak yang terbabit, keluarga mereka, dan syarikat.

Dengan ini, kami berharap agar Hab Aksi Hak Kanak-Kanak bukan sahaja menawarkan bantuan segera kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas oleh buruh kanak-kanak tetapi juga meningkatkan kesedaran dan keupayaan dalam kalangan pihak-pihak yang berkenaan. Usaha kolektif ini menyumbang kepada pengurangan dan pencegahan buruh kanak-kanak dan risiko yang berkaitan dalam rantaian bekalan minyak kelapa sawit.

Soalan: Apakah cara-cara lain yang diusahakan oleh Projek MY Voice untuk menangani isu buruh kanak-kanak dan buruh paksa di Malaysia?

Projek MY Voice menggunakan pendekatan pelbagai pihak berkepentingan untuk menangani isu-isu buruh kanak-kanak dan buruh paksa di dalam sektor minyak kelapa sawit dan sektor pakaian di Malaysia. Kami menawarkan latihan peningkatan kesedaran kepada Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) tempatan, kesatuan, komuniti pekerja, dan pihak kerajaan yang berkenaan. Dengan ini, kami dapat memudahkan proses pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan yang menggalakkan pemilikan inisiatif ini sambil meningkatkan kesedaran. Selain itu, Projek MY Voice menyediakan latihan khusus dan bantuan teknikal kepada syarikat-syarikat di dalam sektor ini dan kepada pembekal mereka, dengan mewujudkan alat dan garis panduan untuk meningkatkan taraf sistem pematuhan sosial mereka.

Salah satu komponen penting dalam kerja kami adalah memperkuatkan suara pekerja (worker voice) dalam sektor-sektor ini. Sistem Pematuhan Sosial (Social Compliance System atau SCS) yang dicadangkan oleh MY Voice menggabungkan penglibatan pekerja dalam proses pelaksanaan dan pemantauan untuk mencapai matlamat ini. Kami juga sedang mengendalikan sebuah sistem teknologi suara pekerja, iaitu aplikasi Just Good Work (JGW). Proses ini sedang dijalankan bersama dengan pekerja dan syarikat. Aplikasi ini bertujuan untuk melibatkan dan memaklumkan pekerja mengenai hak-hak mereka, memperdaya mereka untuk membuat keputusan yang tepat dan membantu perniagaan dalam mengukuhkan amalan pengambilan yang bertanggungjawab dengan menggunakan teknologi akses terbuka.

Kami akan terus bekerjasama dengan sektor swasta, pihak kerajaan, CSO, dan komuniti pekerja untuk meneroka kaedah-kaedah inovatif yang lain agar meningkatkan perwakilan daripada pekerja dan mengintegrasikan pengalaman mereka dalam menangani isu buruh kanak-kanak dan buruh paksa di dalam rantaian bekalan minyak kelapa sawit dan pakaian Malaysia.

Soalan: Adakah anda rasa bersemangat tentang aktiviti-aktiviti yang lain oleh Projek MY Voice pada masa yang akan datang?

MY Voice bertekad untuk bekerjasama dengan inisiatif lain yang memiliki tujuan yang sama untuk memberikan impak yang mampan dan berjangka panjang kepada hak-hak pekerja. Saya rasa sangat teruja mengenai aktiviti yang akan datang di mana kami akan bekerjasama dengan inisiatif lain dan juga dengan pihak berkepentingan tempatan. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti seperti bengkel latihan bersama dan acara advokasi komuniti. Saya juga rasa penuh inspirasi tentang semakin banyaknya inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan pekerja dan keluarga mereka di Malaysia, dan saya dengan bersemangat menjangkakan sumbangan MY Voice dalam mengukuhkan sistem tempatan yang dapat menyokong kedua-dua pekerja dan perniagaan agar dapat berkembang bersama.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Projek MY Voice, sila layari: https://myvoiceproject.org/

ms_MYMS