Perkongsian Pengetahuan dan Amalan Baik dalam Pencegahan dan Remedi Buruh Kanak-Kanak bersama Sektor Swasta  

Sejak pelancaran Hab Aksi Hak Kanak-Kanak (Hab Aksi) pada Jun 2024, pihak Hab Aksi telah berjaya menganjurkan dua sesi latihan mengenai Pencegahan dan Remedi Buruh Kanak-Kanak (CLPR) di Tawau, Sabah. Sesi ini dilaksanakan dengan kerjasama Wilmar International pada 24 September 2024 dan dengan Sawit Kinabalu pada 21 Oktober 2024.  

Hasil utama daripada sesi perkongsian pengetahuan ini, yang difasilitasi oleh The Centre for Child Rights and Business (The Centre), termasuk pemahaman tentang keperluan dan standard yang perlu dipenuhi, langkah-langkah untuk mengurangkan risiko dan melaksanakan tindakan pembetulan, serta pengenalpastian aspek yang boleh diperbaiki dalam sistem pengurusan. 

A large group of people sit smiling and posing for a photo.

Peserta Sesi CLPR bersama Wilmar International pada 24 September 2024 

Sesi ini dihadiri oleh 74 peserta yang mewakili 52 ladang sawit, kilang sawit, dan operasi perniagaan lain. Wilmar International dan Sawit Kinabalu memainkan peranan penting dalam mendaftarkan peserta dari Sabah dan menyediakan lokasi latihan.  

Menurut tinjauan latihan, peserta memperoleh:  

  • Pemahaman yang lebih mendalam tentang hak kanak-kanak, risiko dan kesan buruh kanak-kanak, serta pendekatan usaha wajar (due diligence) dalam menangani isu buruh kanak-kanak; 
  • Pengetahuan tentang pematuhan piawaian, pemantauan yang berkesan, pelaporan, dan strategi tindakan remedi; dan
  • Kesedaran tentang cabaran seperti pemantauan dan pengurusan risiko dalam operasi dan rakan perniagaan, serta penyediaan prosedur remedi dan sistem pengambilan pekerja yang bertanggungjawab. 

Pelan tindakan yang dicadangkan oleh peserta termasuk membangunkan dan melaksanakan program remedi buruh kanak-kanak serta mewujudkan dasar dan prosedur dalaman untuk mencegah buruh kanak-kanak dan memperbaiki amalan pengambilan pekerja. 

A large group of people sit smiling and posing for a photo in front of a yellow logo wall, many are giving thumbs up.

Peserta Sesi CLPR bersama Sawit Kinabalu pada 21 Oktober 2024 

Peserta telah mula menerapkan pengetahuan yang diperoleh dengan mencadangan pelan tindakan pembetulan seperti dasar pencegahan dan amalan pengambilan pekerja yang lebih baik. Maklum balas daripada peserta menunjukkan komitmen yang kukuh untuk melaksanakan pembelajaran ini. Ramai juga menyatakan hasrat untuk mendapatkan latihan tambahan serta sokongan berterusan bagi memperkukuhkan usaha mereka. 

Sertai Kami 

Menegakkan hak kanak-kanak dan melindungi mereka hanya dapat dicapai melalui komitmen semua pihak berkepentingan. Ibu bapa, komuniti, kerajaan, majikan, syarikat minyak sawit antarabangsa, dan pihak lain memainkan peranan penting dalam mewujudkan sistem pematuhan sosial industri yang berkesan untuk mencegah dan meremedi buruh kanak-kanak. Selain itu, melabur dalam latihan guru,yang merupakan pegawai kebajikan utama bagi kanak-kanak adalah satu langkah penting untuk memastikan mereka hidup sihat dan sejahtera. 

Jika anda atau perniagaan anda dalam sektor minyak sawit berminat untuk menyertai inisiatif ini dan mendapatkan sokongan untuk menangani risiko buruh kanak-kanak di premis dan rantaian bekalan anda, inisiatif MY Voice sedia membantu. Hubungi kami melalui e-mel ini.Bersama-sama, kita boleh mencipta masa depan yang lebih cerah dan membawa perubahan positif kepada kanak-kanak dalam komuniti ini. 

Maklumat lanjut tentang Hab Aksi Hak Kanak-Kanak boleh didapati di sini.

Foto: The Centre for Child Rights and Business 

ms_MYMS