Latihan Pengurus Kes Hab Aksi MY Voice Bermula di Sabah dengan Humana Child Aid Society 

Large group of adults and children
Lawatan Pasukan MY Voice ke Pusat Pembelajaran Humana Child Aid Society Sabah 

Kira-kira seramai 33,600 kanak-kanak di Malaysia dianggar terlibat dalam buruh kanak-kanak di ladang minyak kelapa sawit. Majoriti kes buruh kanak-kanak ini ditemui di negeri Sabah (58.8%). Daripada jumlah ini, kebanyakkan isu buruh kanak-kanak, terutamanya di perladangan kelapa sawit dan kawasan pedalaman melibatkan kanak-kanak migran tanpa dokumen sah dan juga tanpa kewarganegaraan dari mana-mana negara. Dalam kajian tahun 2021 menunjukkan bahawa kanak-kanak sekecil lima tahun membantu ibu bapa mereka menjalankan kerja-kerja berbahaya di ladang, seperti menebas, menyembur, dan menuai pokok kelapa sawit.

Sehingga kini, tiada program pemuliharaan yang disediakan khusus untuk kanak-kanak yang ditemui dalam buruh kanak-kanak di Sabah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa peluang pendidikan alternatif yang tersedia di negeri Sabah juga untuk kanak-kanak yang menduduki di ladang kelapa sawit. Pilihan pendidikan alternatif di ladang terbahagi kepada tiga kategori, iaitu; (1)Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC), yang beroperasi melalui kerjasama antara pihak Kerajaan Indonesia dan syarikat-syarikat perladangan di Sabah dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada kanak-kanak migran warganegara Indonesia; (2) Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) yang dikendalikan oleh Humana Child Aid Society Sabah dan syarikat-syarikat perladangan dalam memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di ladang kelapa sawit tanpa mengira kewarganegaraan mereka; dan (3) Pusat pembelajaran komuniti lain yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan ditaja oleh pihak berkepentingan di kawasan pedalaman Sabah, yang memberikan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

Kini, Projek MY Voice sedang berusaha untuk melaksanaka Hab Aksi Hak Kanak-Kanak yang diterajui oleh sektor swasta bagi menangani isu buruh kanak-kanak. Pada masa ini, MY Voice menjalin kerjasama rapat dengan organisasi tempatan yang menyediakan perkhidmatan pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak dalam komuniti ini. Dengan usaha ini, MY Voice ingin membentuk rangkaian penyediaan perkhidmatan pemuliharaan dan melatih pengurus kes buruh kanak-kanak melalui kerjasama dengan organisasi tempatan yang sudah sedia ada.

"Inisiatif berasaskan komuniti memainkan peranan penting di kawasan ladang dan pedalaman. Usaha ini boleh membantu mengatasi cabaran akses terhad kanak-kanak di ladang ke dunia luar serta memastikan perlindungan hak mereka. MY Voice menekankan kepentingan pengurusan oleh komuniti kerana ia tidak praktikal untuk mengharapkan pemilik perniagaan menjalankan lawatan secara kerap dan berterusan ke lokasi-lokasi terpencil untuk memastikan tidak berlakunya buruh kanak-kanak di ladang mereka. Selain itu, inisiatif semacam ini juga meningkatkan kerjasama dengan ladang-ladang tempatan, membina kapasiti mereka dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang pencegahan buruh kanak-kanak," kata Letchimi Devi, Pengurus Projek, MY Voice.

Children in a field playing games
Seorang pelajar di sebuah Pusat Pembelajaran Humana Child Aid Society Sabah 

Melatih Guru-Guru Humana Child Aid Society Sabah Sebagai Pengurus Kes Hab Aksi 

Dari 29 Februari hingga 2 Mac, MY Voice telah menjalankan latihan pengurus kes yang pertama bagi pihak Humana Child Aid Society Sabah (Humana) [1]. Kini, Humana menyediakan pendidikan kepada12,000 kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk dijadikan sebagai buruh paksa. Humana juga berhasrat untuk menangani isu buruh kanak-kanak melalui 98 buah pusat pembelajaran mereka yang dikendalikan bersama pihak ladang-ladang tempatan.

"Kanak-kanak di ladang sering berhenti menghadiri kelas atas pelbagai sebab. Kami sentiasa melihat peningkatan bilangan kanak-kanak yang tidak lagi menghadiri kelas kami, terutamanya dari darjah empat hingga darjah enam. Kebanyakan dari mereka berhenti sekolah apabila mereka sudah lebih besar dan boleh membantu ibu bapa mereka untuk melakukan kerja-kerja berat di ladang," kata Noraini, seorang guru daripada Humana Child Aid Society Sabah

A child runs in a field during a game
Di pusat pembelajaran Humana Child Aid Society Sabah, kanak-kanak bukan sekadar membaca dan belajar. Mereka diberi pendidikan menyeluruh yang merangkumi kesihatan fizikal dan seni. 

"Guru-guru yang mengikuti latihan pengurus kes ini memegang peranan penting kerana mereka adalah individu yang berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak setiap hari. Mereka bukan hanya bertindak sebagai pendidik, tetapi juga memantau risiko buruh kanak-kanak dalam kalangan murid-murid mereka dan menjadi agen penyampaian kesedaran mengenai ancaman negatif yang terlibat dalam buruh kanak-kanak," kata Riri S.O. Malikah, Pengarah Perkhidmatan dan Produk (Asia), The Centre for Child Rights and Business

Latihan pengurus kes di Tawau bertujuan untuk menyediakan peserta dengan ilmu mengenai proses pemuliharaan kes buruh kanak-kanak yang telah dikenal pasti. Latihan ini dihadiri oleh 17 orang guru daripada Humana. Sebelum ini, guru-guru yang sama juga telah menghadiri latihan pencegahan dan pemuliharaan buruh kanak-kanak oleh MY Voice di Lahad Datu dan Kota Kinabalu pada bulan September dan Disember 2023. Berbanding dengan sesi latihan sebelumnya, kali ini ia lebih fokus kepada cara-cara menangani kes untuk mengeluarkan kanak-kanak terbabit dari situasi buruh kanak-kanak melalui perbincangan kajian kes dan berdasarkan pengalaman semasa . Ini termasuk penempatan sementara, bantuan kewangan sementara dan peluang pendidikanuntuk kanak-kanak terbabit. Guru-guru yang lulus dengan cemerlang dalam latihan ini akan menjadi pengurus kes bertauliah dan sedia berkhidmat untuk membantu kanak-kanak dalam komuniti.

"MY Voice dan Humana Child Aid Society Sabah telah berganding bahu dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan kanak-kanak yang tinggal di ladang-ladang kelapa sawit melalui penyediaan pendidikan dan latihan. Kami berhasrat mengurangkan kejadian buruh kanak-kanak, khususnya dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Latihan yang kami berikan kepada pengurus kes dalam program ini dapat membantu guru-guru memahami tanggungjawab merekasebagai pendidik dan penjaga kanak-kanak. Ini adalah langkah penting dalam mencegah eksploitasi kanak-kanak serta memastikan keselamatan mereka. Matlamat utama program ini adalah mengurangkan risiko serta kejadian buruh kanak-kanak dalam industri kelapa sawit,” jelas Dayang, Pengarah Eksekutif, Humana Child Aid Society, Sabah.

Selain risiko buruh kanak-kanak, latihan ini juga merangkumi isu-isu berkaitan dengan buruh paksaan serta perkara-perkara lain seperti gangguan seksual. Ia juga mengiktiraf kesukaran yang dihadapi oleh kanak-kanak yang ditarik balik daripada persekolahan untuk melibatkan diri dalam tugas-tugas di ladang.

Langkah Seterusnya Bagi Hab Aksi Hak Kanak-Kanak MY Voice

Pelancaran rasmi Hab Aksi Hak Kanak-Kanak MY Voice dijadualkan pada Jun 2024. Pada masa ini, para guru tetap optimis dan mempunyai motivasi yang tinggi dengan peranan mereka dalam membawa perubahan positif kepada murid-murid dan komuniti mereka.

"Latihan ini telah memberikan kami (guru-guru Humana Child Aid Society Sabah) tanggungjawab yang lebih besar untuk mengatasi isu buruh kanak-kanak di ladang minyak kelapa sawit," kata Supri, koordinator bagi pihak Humana Child Aid Society Sabah

“Saya harap dengan pengetahuan yang saya perolehi daripada latihan ini, saya dapat membantu ibu bapa memahami betapa pentingnya pendidikan anak-anak mereka. Kanak-kanak perlu digalakkkan untuk belajar dan dihindarkan daripada bekerja di ladang," kata Suriyani, guru daripada Humana Child Aid Society Sabah

Libatkan Diri Anda 

Memperjuangkan hak dan perlindungan kanak-kanak hanya dapat dicapai melalui komitmen daripada semua pihak. Melabur dalam melatih guru-guru, yang merupakan penjaga penting bagi kanak-kanak ini, merupakan langkah penting untuk menyediakan mereka bagi kehidupan yang sihat dan masa hadapan yang cerah. Ibu bapa, komuniti, kerajaan, majikan, syarikat-syarikat minyak kelapa sawit antarabangsa, dan pihak-pihak yang berkenaan memainkan peranan penting dalam membentuk sistem pematuhan sosial yang berkesan dalam industri minyak kelapa sawit untuk mencegah dan memulihkan buruh kanak-kanak.

Jika anda atau syarikat anda dalam sektor minyak kelapa sawit berminat untuk menyertai inisiatif ini atau berminat untuk mendapatkan sokongan kami untuk mengurus risiko buruh kanak-kanak di premis dan rantaian bekalan anda, projek MY Voice boleh membantu. Hubungi kami melalui ke contact@myvoiceproject.org. Bersama-sama, kita dapat membina masa depan yang lebih cerah dan membawa perubahan positif kepada kanak-kanak dalam komuniti ini.

Children in a classroom
Seorang guru dan kelas darjah dua
children in a classroom one is giving a peace sign to the camera
Kanak-kanak di Pusat Pembelajaran Humana Child Aid Society Sabah 

Sumber gambar dari The Centre for Child Rights and Business


[1] Humana Child Aid Society Sabah percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan, tanpa mengira latar belakang, kewarganegaraan atau status undang-undang. Sebagai ahli Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (Roundtable on Responsible Palm Oil atau RSPO), organisasi ini menjalin hubungan kerja yang kukuh dengan perladangan tempatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat pihak berkepentingan.

ms_MYMS